
KUALA LUMPUR: Kerajaan memandang serius peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang mencatat lonjakan sebanyak 43.2 peratus, iaitu daripada 2,541 kes pada 2020 kepada 3,892 kes pada tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut meluahkan kebimbangan apabila jumlah mangsa meningkat 55.7 peratus dalam tempoh sama, daripada 2,561 orang kepada 3,988 orang.
Katanya, peningkatan itu ekoran perkembangan teknologi dan revolusi industri yang memperlihatkan modus operandi jenayah semakin canggih, termasuk membabitkan penggunaan teknologi ‘deepfake’ dan pencurian identiti digital.
“Kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersepadu yang membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menangani isu ini secara menyeluruh, tegas dan berkesan.
“Ini termasuklah penganjuran Seminar Perlindungan Kanak-Kanak : Menangani Ancaman Siber dan Jenayah Seksual pada bulan November nanti,” katanya melalui kenyataan media susulan mesyuarat Majlis Sosial Negara Bilangan 2 Tahun 2025 yang dipengerusikannya hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Sosial Negara berkata mesyuarat hari ini meneliti pelaksanaan Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 dan pembangunan Pelan Tindakan 2026–2030.
DSN 2030 adalah dasar induk yang menyelaras 44 Dasar Sosial Negara, dengan Pelan Tindakan DSN 2026-2030 kini di fasa akhir dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Oktober 2025.
Beliau berkata, Majlis Sosial Negara turut meneliti isu gelandangan yang mengalami gangguan mental tetapi terlepas daripada intervensi rawatan akibat ketiadaan penempatan khas.
Sehubungan itu, Majlis Sosial Negara menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menubuhkan ‘task force’ bagi membina rumah jagaan kejururawatan psikiatri.
“Tambahan itu, mesyuarat meneliti dan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah Kebangsaan bagi menyelaras isu pendaftaran, keselamatan, kesihatan serta strategi kurikulum dan tenaga pengajar.
“Ini langkah strategik ke arah sistem pendidikan awal kanak-kanak yang lebih teratur dan berkesan,” katanya.
Tambah beliau, mesyuarat turut meneliti isu ketidakpadanan kemahiran dalam kalangan graduan, dengan Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan 2.06 juta graduan kini bekerja dalam sektor tidak setaraf dengan kelayakan mereka.
Bagi menangani isu ini secara strategik, katanya inisiatif MyMAHIR yang diterajui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan TalentCorp telah dilancarkan.
“Setakat ini, sebanyak 66 program latihan berteraskan industri telah diluluskan di bawah Majlis Bakat Kemahiran Masa Hadapan MyMAHIR merangkumi sektor-sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), analitik data dan ekonomi hijau.
“Program ini bukan sahaja menyediakan latihan berkemahiran tinggi, malah disertakan jaminan pekerjaan dengan purata gaji permulaan RM3,000 sehingga RM6,000 sebulan.
“Akhirnya, saya tegaskan bahawa Majlis Sosial Negara merupakan jentera penyelaras utama dasar sosial kebangsaan. Pelaksanaan DSN 2030 mesti dipacu secara bersasar dan berimpak tinggi, dengan pemantauan berkala, ukuran impak dan akauntabiliti tinggi oleh semua agensi,” katanya.





