KUALA LUMPUR : Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang digantung, Datuk Noor Azman Rahman, berada di bawah siasatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu pemalsuan dokumen yang melibatkan tujuh pemain berdarah warisan Malaysia.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, selain pengawasan FIFA, Noor Azman juga akan dibawa ke hadapan Jawatankuasa Disiplin FAM sebelum keputusan mengenai nasibnya akan ditentukan selepas proses disiplin dijalankan.
“Kita akan merujuk Noor Azman kepada Jawatankuasa Disiplin FAM susulan cadangan daripada IIC dan kita juga menerima emel daripada FIFA yang memaklumkan mereka akan menjalankan siasatan ke atas beliau.
“Alasan FIFA adalah mereka ingin mengetahui peranan Noor Azman, proses yang dilakukan dan sejauh mana pembabitannya untuk dokumen yang dihantar.
“FIFA lebih hendak mengetahui proses dekat Noor Azman dan tanggungjawab yang dilakukannya dengan lebih mendalam,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas EXCO di Wisma FAM, hari ini.
Tambah Mohd. Yusoff, pihaknya perlu menunggu keputusan Jawatankuasa Disiplin sebelum dirujuk kepada EXCO bagi menentukan status Noor Azman.
“Jika didapati bersalah, kita akan bawa kepada EXCO untuk menentukan apa bentuk hukuman yang akan ditentukan. Ia bergantung kepada sejauh mana kesalahan yang dilakukannya itu.
“Kalau kesalahan setakat itu, ada hukumannya dan kalau kesalahan itu tinggi, ada hukumannya tetapi di akhirnya, EXCO yang akan buat keputusan”, katanya.
Noor Azman digantung tugas serta-merta pada Oktober lalu susulan siasatan membabitkan FIFA berhubung status tujuh pemain kacukan Harimau Malaya.
Tindakan tegas itu disahkan sendiri Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundram yang memaklumkan penggantungan berkuat kuasa 17 Oktober pada sidang media khas yang berlangsung di Wisma FAM.
