KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus kekal menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan Titah Adendum yang didakwa membenarkan beliau menjalani tahanan di rumah adalah tidak sah.
Hakim Alice Loke Yee Ching berkata, Titah Adendum berkenaan tidak mempunyai kekuatan undang-undang dan tidak boleh dilaksanakan.
“Sehubungan itu, perintah tahanan di rumah tidak boleh dilaksanakan,” katanya ketika menyampaikan keputusan mahkamah.
Dengan keputusan tersebut, Najib akan terus menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sehingga tamat tempoh hukumannya.
Terdahulu, Hakim Yee Ching menjelaskan Titah Adendum berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61.
Katanya Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian dalam pelaksanaan kuasa pengampunan.
“Pelaksanaan prerogatif pengampunan diraja mestilah mematuhi peruntukan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Mahkamah turut menegaskan Titah Adendum tersebut bukan satu perintah yang sah dari segi perlembagaan dan undang-undang, sekali gus menyebabkan permohonan untuk melaksanakan tahanan di rumah tidak boleh dipertimbangkan.
