
KUALA LUMPUR: Kerajaan menjimatkan RM800 juta hasil pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sejak 30 September lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, penjimatan itu dicapai hasil penyasaran subsidi petrol secara lebih berkesan supaya hanya dinikmati warganegara Malaysia.
“Ia sekali gus mengekang ketirisan yang sebelum ini melibatkan lebih 3.5 juta warga asing serta aktiviti penyeludupan puluhan ribu liter minyak ke luar negara.
“Setiap hasil penjimatan itu dipulangkan semula kepada penduduk melalui STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan SARA (Sumbangan Asas Rahmah), selain digunakan bagi menaik taraf klinik dan hospital, memperbaiki jalan raya serta memperkukuh prasarana negara,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, penyasaran subsidi minyak telah dibincangkan sejak lebih 20 tahun oleh kerajaan terdahulu, namun tiada yang mempunyai keberanian serta tekad politik untuk melaksanakannya sehingga Kerajaan MADANI mengambil langkah berani melaksanakan BUDI95.





