KUALA LUMPUR: Malaysia diisytiharkan kalah dengan jaringan 0-3 bagi tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1 melibatkan skuad Harimau Malaya, selain turut dikenakan hukuman denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414) oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Tiga perlawanan terbabit ialah Malaysia menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei lalu yang berkesudahan seri 1-1 dan perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September yang menyaksikan Malaysia menang 2-1.
Satu lagi perlawanan ialah pertemuan dengan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 8 September yang berkesudahan Malaysia menang 1-0.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan, pihaknya mengesahkan menerima hukuman terbaharu itu daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang bersidang pada Jumaat lepas.
“Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA Jorge Palacio itu, mendapati FAM telah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA, sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara tersebut.
Sebelum ini, FAM mengesahkan telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman dikenakan FIFA membabitkan isu dokumentasi tujuh pemain warisan, iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Keputusan untuk membawa kes itu ke CAS dibuat susulan FIFA mengeluarkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat pada 3 November, yang mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA.
Keputusan tersebut menyaksikan FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit digantung selama 12 bulan dan masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (kira-kira RM10,000) setiap seorang.
