
TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan berlaku kenaikan harga ikan sehingga 30 peratus di pasaran, dipercayai berpunca daripada peningkatan permintaan sempena musim tengkujuh.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, hasil pemantauan kementerian mendapati kenaikan harga tersebut tidak berlaku secara menyeluruh tetapi tertumpu di beberapa lokasi tertentu sahaja.
“Setakat pemantauan kita, memang terdapat peningkatan harga ikan di pasaran, namun ia tidak berlaku secara meluas. Kenaikan yang dikesan juga tidak melebihi 30 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Walkabout Program Jualan Rahmah (PJR) Monsun di Tapak Futsal Kampung Neting, di sini, hari ini.
Menurut Fuziah, peningkatan harga ikan itu didorong oleh permintaan yang tinggi ketika musim tengkujuh khususnya apabila bekalan hasil tangkapan nelayan menjadi tidak menentu akibat faktor cuaca.
Beliau menegaskan, KPDN tidak akan berkompromi sekiranya terdapat sebarang unsur manipulasi bekalan oleh pemborong atau peniaga.
“Jika mana-mana pihak, termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mempunyai maklumat mengenai manipulasi bekalan atau pencatutan harga, kami menggesa supaya laporan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Katanya, setakat ini kementerian belum menerima sebarang aduan rasmi berkaitan isu tersebut dan maklumat mengenai kenaikan harga ikan hanya diperoleh menerusi laporan media.
Sebelum ini, media melaporkan kenaikan harga ikan di pasaran tempatan bukan sahaja berpunca daripada musim tengkujuh atau kekurangan hasil tangkapan, malah dikaitkan dengan tindakan segelintir pemborong yang didakwa memanipulasi bekalan.
Sementara itu, Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, nelayan masih turun ke laut mengikut keadaan cuaca, namun sebahagian pemborong didakwa menyimpan stok ikan dalam jumlah besar ketika musim ikan melimpah.
Bekalan tersebut kemudiannya dikeluarkan semula ke pasaran ketika stok berkurangan, sekali gus menyebabkan harga ikan melonjak dan membebankan pengguna.






