
KUALA LUMPUR: Pas bimbang sekiranya rombakan Jemaah Menteri yang diumumkan sebelum ini dijadikan satu daripada strategi mengukuhkan penguasaan DAP di Kuala Lumpur dan pusat bandar utama di negara ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan di Jabatan Perdana Menteri serta pengekalan Nga Kor Ming sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menimbulkan persoalan mengenai pemusatan kuasa strategik bandar di bawah kepimpinan parti dan latar belakang etnik yang sama.
Katanya, pengurusan Wilayah Persekutuan, perumahan dan pembangunan bandar merupakan portfolio penting yang mempunyai pengaruh besar terhadap hala tuju pembangunan negara.
“Pemusatan kuasa strategik di tangan pemimpin daripada parti dan latar belakang yang sama boleh menimbulkan persoalan berkaitan keseimbangan kuasa serta mekanisme semak dan imbang dalam pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Takiyuddin mendakwa langkah tersebut berpotensi membolehkan sesebuah parti membentuk dasar urban, pengurusan tanah dan perumahan tanpa pengawasan yang mencukupi dan telus.
Beliau turut mengaitkan kebimbangan itu dengan cadangan pelaksanaan Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) yang disifatkan berisiko meminggirkan kelompok penduduk tertentu, khususnya orang Melayu dan golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar.
“Cadangan akta ini boleh mencetuskan keresahan awam kerana dikhuatiri menjejaskan hak milik penduduk bandar sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu berpotensi melebarkan jurang perbezaan antara masyarakat dan wilayah, sekali gus memberi kesan negatif terhadap keharmonian dan kesatuan nasional dalam jangka panjang.
Takiyuddin berkata, wujud persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa pelantikan berkenaan bukan dibuat berdasarkan merit atau keperluan dasar, sebaliknya dipengaruhi tekanan politik tertentu.
Beliau turut merujuk spekulasi mengenai desakan DAP berkaitan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang didakwa menjadi antara faktor dalam pembentukan Kabinet.
“Sekiranya jawatan Kabinet dijadikan alat rundingan politik bagi mengekalkan sokongan mana-mana pihak, ia boleh menjejaskan prinsip tadbir urus yang berintegriti serta keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan,” katanya.







