
KUALA LUMPUR: Lebih 50 laporan polis dibuat terhadap artis grafik kontroversi, Fahmi Reza, berhubung dakwaan menghina Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menerusi hantaran dalam media sosial.
Laporan berkenaan dibuat pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia, pemimpin masyarakat, individu perseorangan serta dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, iaitu Aznan Tamin dan Khairin-Nisa Ismail.
Menurut portal berita kerajaan negeri, Media Digital Johor, laporan polis itu dibuat di beberapa daerah di seluruh Johor, termasuk membabitkan lebih 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Aznan berkata, kenyataan dan tindakan Fahmi disifatkan mencabar prinsip raja berperlembagaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, perbuatan itu bukan sahaja menyinggung perasaan rakyat Johor malah berpotensi menjejaskan ketenteraman awam.
Fahmi sebelum ini dikenali sebagai individu yang sering mencetuskan kontroversi menerusi penghasilan grafik satira menyasarkan tokoh politik daripada pelbagai latar belakang dan parti.
Awal bulan ini, dia turut dipanggil polis berhubung penggunaan pelekat bergambar tikus dengan perkataan ‘PM’ yang merujuk kepada Perdana Menteri semasa satu siaran langsung di platform TikTok.
Namun, Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong mengecam siasatan polis terhadap Fahmi dan menggesa kerajaan menghentikan tindakan yang disifatkan sebagai menghukum pengkritik Putrajaya.







