
KUALA LUMPUR: Johor menjadi negeri terbaharu dilanda banjir apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Mersing pagi ini bagi menempatkan penduduk terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, Asman Shah Abd. Rahman berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Air Tawar mula beroperasi pada pukul 8 pagi, menempatkan seramai 120 penduduk daripada 31 keluarga yang dipindahkan dari Kampung Baru Air Tawar dan Kampung Hubong.
Katanya, empat sungai di Johor kini berada pada paras amaran iaitu Sungai Muar di Kampung Awat mencatatkan bacaan 19.41 meter (m), Sungai Segamat di Segamat (36.72 m), Sungai Mersing di Kampung Labong (1.83 m) dan Sungai Muar di Tangkak (2.02 m).
Dalam pada itu, situasi banjir di negeri Pahang menunjukkan peningkatan apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS terus bertambah kepada 2,077 orang daripada 648 keluarga setakat pukul 8.30 pagi ini.
Berdasarkan aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa ditempatkan di 18 PPS membabitkan tiga daerah iaitu Kuantan, Maran dan Rompin.
Kuantan merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,975 orang daripada 620 keluarga di 13 PPS, diikuti Maran melibatkan 74 mangsa daripada 19 keluarga di dua PPS manakala Rompin mencatatkan 28 mangsa daripada sembilan keluarga di tiga PPS.
Menurut laman sesawang Public Info Banjir, beberapa stesen sungai utama di Pahang dilaporkan melepasi paras bahaya, antaranya Sungai Belat di Sri Damai, Sungai Kenau di Sungai Rimau, Kuantan serta Sungai Mentiga di Jambatan Chini, Pekan.
Keadaan banjir di Kemaman, Terengganu pula semakin pulih apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 108 orang daripada 30 keluarga setakat pukul 9 pagi ini berbanding 212 orang daripada 58 keluarga petang semalam.
Situasi di Miri, Sarawak menunjukkan pemulihan sepenuhnya apabila tiada lagi mangsa banjir berlindung di PPS Bulat Sabit Merah selepas dua mangsa daripada satu keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.
PPS tersebut kini menempatkan empat mangsa daripada satu keluarga yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.






