KUALA LUMPUR : Tujuh menteri, termasuk dua muka baharu selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di Istana Negara, Kuala Lumpur, susulan rombakan Kabinet.
Pada masa sama, lapan timbalan menteri baharu turut mengangkat sumpah jawatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut hadir pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan, Sumpah Setia dan Sumpah Simpan Rahsia yang diadakan di Singgahsana Kecil pada pukul 10 pagi.
Semalam, Anwar, mengumumkan pelantikan menteri baharu serta pertukaran beberapa portfolio lain.
Katanya, langkah itu dibuat susulan kekosongan dalam Kabinet dan keperluan melakukan penyesuaian tertentu bagi memastikan kelancaran pentadbiran.
Semasa mengumumkan Kabinet baharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar digugurkan.
Turut digugurkan Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy.
Istiadat angkat sumpah jawatan itu bermula dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta majlis penandatanganan dokumen rasmi pelantikan yang disaksikan Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
