KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyambut baik langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mewajibkan penyedia perkhidmatan pesanan internet dan platform media sosial berskala besar dilesenkan sebagai penyedia perkhidmatan aplikasi mulai 1 Januari 2026.
OCC menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah penting dalam memperkukuh penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, selaras pengenalan seksyen 46A baharu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming).
Menurut OCC, langkah pengawalseliaan ini merupakan perkembangan signifikan ke arah meningkatkan akauntabiliti platform digital yang beroperasi di Malaysia, khususnya dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak dalam ruang siber.
“Di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), kanak-kanak berhak dilindungi daripada semua bentuk kemudaratan, penderaan, eksploitasi dan keganasan, termasuk dalam persekitaran digital.
“Perlindungan itu termaktub dalam Artikel 3, 19, 34 dan 36 CRC yang mewajibkan kerajaan sebagai Negara Pihak mengambil langkah proaktif serta pencegahan bagi menangani risiko yang boleh menjejaskan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan.
Akta Kanak-Kanak 2001 turut memperuntukkan tanggungjawab semua pihak untuk melindungi kanak-kanak daripada kemudaratan fizikal, emosi dan psikologi, termasuk pengabaian, penderaan dan eksploitasi.
Sehubungan itu, OCC menegaskan platform digital berskala besar mempunyai tanggungjawab untuk memastikan perkhidmatan mereka direka bentuk, ditadbir dan dikuatkuasakan dengan cara yang selamat serta tidak mendedahkan kanak-kanak kepada risiko atau ancaman yang boleh menjejaskan kesejahteraan mereka.
OCC turut menekankan keperluan penyedia perkhidmatan memastikan tetapan dan reka bentuk platform adalah selamat secara automatik untuk kanak-kanak.
“Ini termasuk pelaksanaan perlindungan mengikut peringkat umur, pencegahan akses kepada kandungan berbahaya, usaha membanteras eksploitasi dan penderaan seksual dalam talian, sistem penapisan kandungan yang berkesan, serta mekanisme pelaporan dan pemulihan yang mudah diakses.
“Kepentingan terbaik kanak-kanak seperti yang digariskan di bawah Artikel 3 CRC, mesti menjadi teras kepada dasar platform, reka bentuk sistem dan penguatkuasaan,” jelas kenyataan itu.
Peruntukan Deeming yang diperkenalkan oleh MCMC mengukuhkan prinsip platform yang memperoleh manfaat daripada jumlah pengguna yang besar di Malaysia perlu memikul tanggungjawab setimpal di bawah rangka kerja kawal selia negara.
OCC turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha MCMC untuk memastikan semua penyedia perkhidmatan beroperasi dalam sistem kawal selia yang jelas, konsisten dan boleh dikuatkuasakan, selain menjunjung hak kanak-kanak terhadap keselamatan, maruah, privasi serta perkembangan menyeluruh mereka.
OCC juga bersedia memperkukuh kerjasama dengan MCMC, agensi kerajaan berkaitan serta penyedia perkhidmatan bagi mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak.
“Melindungi kanak-kanak dalam talian bukan satu pilihan, sebaliknya merupakan kewajipan undang-undang dan moral di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta rangka kerja perlindungan kanak-kanak domestik Malaysia,” tegas kenyataan itu.
