KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah 3.2 magnitud telah berlaku di Johor pada pukul 8.59 pagi tadi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
METMalaysia menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, gempa itu berpusat di koordinat 2.33° utara dan 102.79° timur dengan kedalaman 10 kilometer, terletak 18 kilometer dari Selatan Segamat.
“Gegaran dirasai di kebanyakan kawasan di Johor dan Selatan Pahang. METMalaysia akan terus memantau keadaan ini.
“Mohon tuan dan puan yang merasai gegaran akibat gempa bumi ini dapat mengisi borang soal selidik di pautan ini: https://forms.gle/JMGSQhuAKdtwWn2a7,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, gempa bumi lemah 4.1 magnitud dikesan di Johor pada Ahad lalu.
Pusat gempa bumi itu terletak 5 kilometer Barat dari Segamat, Johor, dengan kedalaman 10 kilometer.
Gegaran turut dirasai di Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang.
