
BANGKOK: Sebanyak 48 unit gerai di Pasar Hujung Minggu Chatuchak di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku lewat malam Isnin.
Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku pada pukul 10.42 malam waktu tempatan dipercayai berpunca daripada sebuah kedai di kawasan Project 17 sebelum api merebak ke gerai-gerai berhampiran.
Kebanyakan gerai yang terjejas merupakan kedai setingkat berbumbung zink yang menjual pakaian sekali gus menyebabkan api cepat marak.
Susulan itu, pasukan bomba bersama unit sokongan segera dikerahkan ke lokasi bagi memadam kebakaran serta menghalang api daripada merebak ke kawasan lain.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 11.15 malam.
Pemeriksaan awal mendapati kebakaran tersebut membabitkan kawasan seluas 240 meter per segi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan kejadian berlaku selepas pasar itu ditutup kepada orang ramai.
Pegawai bomba dan penyelamat memaklumkan siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas elektrik.
Punca sebenar kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan dan akan ditentukan selepas pemeriksaan lanjut oleh pegawai forensik.







