
KUALA LUMPUR: Gajah betina yang ‘meratapi’ kematian anaknya akibat dilanggar sebuah lori di Lebuh Raya Gerik-Jeli, semalam, sudah kembali ke hutan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff, berkata, bangkai anak gajah jantan itu juga sudah ditanam.
“Ibu gajah itu sudah kembali ke hutan. Kami berharap ia bertemu semula dengan kumpulannya.
“Bangkai anak gajah terbabit juga sudah ditanam,” katanya.
Semalam, tular rakaman video memaparkan seekor gajah dewasa menunggu lebih lima jam di sisi anaknya yang maut selepas dilanggar sehingga terperosok ke bawah lori.
Ibu gajah itu cuba menolak kenderaan berkenaan dengan menggunakan kepalanya dalam usaha menyelamatkan anak dianggarkan berusia lima tahun.
Susulan itu, Perhilitan terpaksa memberikan ubat pelali kepada ibu gajah itu selepas ia enggan berganjak dari sisi anaknya selama lebih lima jam, sekali gus dikhuatiri boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.






