
KUALA LUMPUR: Inflasi pada Januari 2026 meningkat 1.6 peratus dengan Indeks Harga Pengguna (CPI) naik kepada 135.7 mata berbanding 133.6 mata pada bulan sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin menerusi kenyataan berkata, kenaikan itu didorong oleh empat kumpulan utama, dipimpin oleh penjagaan diri, perlindungan sosial, serta pelbagai barangan dan perkhidmatan yang mencatat peningkatan 6.6 peratus berbanding 5.7 peratus pada Disember 2025.
“Kumpulan pendidikan meningkat 3.2 peratus (Disember 2025: 2.8 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain naik 1.2 peratus (Disember 2025: 0.9 peratus), manakala rekreasi, sukan dan budaya meningkat 0.9 peratus (Disember 2025: 0.8 peratus).
“Bagi minuman beralkohol dan tembakau, kenaikan dicatatkan sebanyak 2.5 peratus, manakala kumpulan makanan dan minuman meningkat 1.5 peratus, mengekalkan trend sama seperti bulan sebelumnya,” katanya.






