
KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) mengeratkan hubungan strategik serta memperkukuh kerjasama bersama rakan-rakan media melalui satu sesi Media Hi-Tea di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni berkata, sesi berkenaan dianjurkan untuk membuka ruang interaksi dua hala antara INSKEN dan pihak media.
“Media merupakan rakan strategik penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berimpak kepada masyarakat.
“Justeru, INSKEN komited untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak media dan berharap hubungan erat yang terjalin melalui sesi seperti ini dapat diteruskan serta diperkukuh.
“Ia demi menyokong agenda pembangunan keusahawanan yang mampan dan inklusif,” katanya pada sesi INSKEN Media Hi-Tea di sini.
Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub.

Beliau menambah, sesi berkenaan turut membantu media memahami pendekatan INSKEN yang berperanan sebagai pemudah cara serta penghubung antara usahawan, industri dan ekosistem sokongan keusahawanan negara.
Dalam majlis tersebut, INSKEN turut berkongsi pencapaian terkini, inisiatif dan hala tuju strategik dalam memperkasa usahawan tempatan melalui pelbagai program keusahawanan yang ditawarkan.
Viviantie berkata, antara fokus INSKEN pada tahun ini adalah penskalaan usahawan mikro ke kecil yang lebih mampan, penciptaan peluang pekerjaan baharu bergaji minimum dan pemerkasaan sektor ketiga termasuk keusahawanan sosial serta perusahaan berasaskan komuniti.

“Ia selari dengan hala tuju Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) dan aspirasi Ekonomi MADANI membina usahawan yang lebih cekap, berdaya tahan serta inklusif.
“Selain itu, terdapat program baharu dikenali sebagai Bangkit dan INSKEN Masterclass.
“Skop program keusahawanan pula, terdapat Perniagaan Keluarga, Halal, High Growth High Value (HGHV), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) , Akses Pasaran dan Keusahawanan Sosial,” ujarnya.
Menyentuh mengenai pencapaian tahun lalu, beliau berkata, seramai 20,196 usahawan telah dilatih dan dibimbing melalui 321 program sepanjang pada tahun 2025.
“INSKEN berjaya menjana RM22.4 juta peningkatan hasil jualan kepada ekonomi negara melalui pelaksanaan Program Bimbingan INSKEN sepanjang tahun lalu di seluruh negara.
“Melalui pelbagai program keusahawanan, sebanyak 710 pekerjaan baharu diwujudkan pada tahun 2025,” katanya.






