
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi keterangan selama lima jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.
Kenderaan jenis Audi berwarna hitam yang dinaiki beliau, meninggalkan ibu pejabat SPRM pada pukul 3.13 petang selepas memasukinya pada pukul 9.45 pagi tadi kerana dijadualkan memberi keterangan kepada penyiasat SPRM pada pukul 10 pagi.
Ketika melewati pintu keluar, Ismail Sabri sempat melambaikan tangan kepada pengamal media yang berkumpul di di situ sejak awal pagi tadi.
Menurut sumber, Perdana Menteri Kesembilan yang juga Ahli Parlimen Bera dijangka hadir semula ke pejabat SPRM pada Jumaat ini bagi meneruskan rakaman percakapan.
Media semalam melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata sijil cuti sakit Ismail Sabri berakhir hari ini.
Berikutan itu, beliau diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam percakapan berdasarkan siasatan dijalankan dan saksi-saksi tambahan akan dipanggil dalam tempoh terdekat secara gradual ke pejabat SPRM untuk dirakam percakapan.
Pada 3 Mac lalu, Azam mengesahkan Ismail adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah ‘safe house’ susulan serbuan dilakukan pihaknya.