
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menangani isu ketagihan media sosial luar biasa membabitkan kesihatan mental pengguna.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata MCMC dan Kementerian Komunikasi tidak memiliki kepakaran bersesuaian berkaitan isu kesihatan mental.
“Dari segi MCMC, kami boleh mengeluarkan garis panduan mengenainya dan untuk mengawal penyedia platform supaya membuat garis panduan lebih selamat kepada pengguna bawah 18 tahun.
“Untuk pengguna dewasa, saya percaya setiap individu perlu dipertanggungjawabkan terhadap pilihan mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tuan Azahar Hassan mengenai langkah Kementerian Komunikasi menangani kesan ketagihan teruk dalam kalangan pengguna media sosial seperti tiada rasa malu, membuat siaran langsung ketika makan dan anak-anak melayari media sosial hingga tidak keluar dari bilik tidur.
Mengenai tindakan kementerian menangani isu ketagihan media sosial itu, Nie Ching berkata, MCMC melaksanakan perkongsian maklumat bagi memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat supaya sentiasa bertanggungjawab serta berhemah apabila menggunakan media sosial.





