
KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menegaskan tiada keperluan untuk meminda Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) bagi mengekang kegiatan pengurniaan sijil akademik palsu.
Katanya, peruntukan undang-undang sedia ada iaitu hukuman denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya terhadap individu atau institusi yang didapati melakukan perbuatan itu sudah memandai.
“Saya fikir setakat ini kita sudah ada peruntukan yang memadai iaitu mereka boleh dikenakan hukuman sehingga dua tahun penjara atau bersekali dengan denda RM200,000,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Dr. R. Arunasalam berhubung keperluan untuk meminda Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) bagiArunasalam memastikan tindakan lebih tegas dalam menangani isu sijil akademik palsu.
Zambry ketika menjawab soalan itu juga bersetuju dengan cadangan Arunasalam untuk melakukan audit terbuka kepada semua pegawai tinggi kerajaan termasuk ahli Parlimen, senator dan menteri bagi memastikan tiada yang menggunakan sijil akademik palsu.
Sementara itu, mengenai pengurniaan ijazah doktor falsafah (PhD) palsu yang berleluasa di Malaysia dan berapa jumlah institusi, Zambry memberitahu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menerima aduan berkaitan mana-mana institusi pendidikan tinggi dalam negara yang mengurniakan ijazah itu secara tidak sah.
“Kita juga tiada maklumat berkaitan jumlah individu menggunakan PhD palsu, ini saya maksudkan untuk dalam negara, luar negara macam-macam cerita kita dengar,” katanya.
“Setiap universiti awam mempunyai sistem pangkalan data masing-masing yang menyimpan maklumat pelajar menyelesaikan pengajian termasuk siswazah PhD. Data itu perlu dikemukakan kepada KPT setiap suku tahun bagi pengumpulan data pelajar.
“KPT sendiri membangunkan sistem carian maklumat penerima ijazah kehormat dan ijazah kedoktoran daripada universiti awam dan swasta di portal Graduate Reference Hub for Employment and Training.
“Sistem ini sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa, dengan data dikemas kini selepas mendapat kelulusan senat universiti, jadi kita boleh beri rujukan bagi mana-mana pihak untuk membuat carian mereka,” katanya.