
KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu bijak menilai iklan tawaran badal haji serendah RM1,500 termasuk yang dipromosikan meluas di surau-surau, masjid-masjid serta platform media sosial oleh agensi pelancongan atau individu bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, kebanyakan pakej badal haji kini ditawarkan pada harga yang tidak munasabah kerana jauh lebih rendah berbanding kos sebenar ditetapkan Kerajaan Arab Saudi untuk seseorang menunaikan haji secara sah.
Jelasnya, pakej perkhidmatan badal haji yang ditawarkan sukar dilaksanakan secara komersial kerana setiap jemaah haji termasuk penduduk tempatan di Arab Saudi perlu memiliki visa haji yang sah untuk menunaikan haji.
“Pada musim haji 1447H/2026 yang akan datang, Kerajaan Arab Saudi akan terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat di mana sekiranya jemaah haji ditangkap menggunakan visa atau permit yang tidak sah akan berdepan hukuman denda, penjara dan akan disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi untuk tempoh beberapa tahun,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kos terendah pakej haji untuk penduduk tempatan adalah sekitar SR10,000.00 atau RM11,300 yang hanya merangkumi permit dan khemah di Masyair, tidak termasuk kos penginapan, makanan dan pengangkutan.
Sehubungan itu, Zulkifli menasihatkan orang ramai segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki atau menjadi mangsa penipuan badal haji supaya siasatan dan tindakan undang-undang dapat dilaksanakan sewajarnya.
“Saya menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan perkhidmatan badal haji secara komersial demi mengelakkan penipuan dan kerugian,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak atau syarikat pelancongan yang terlibat dalam penipuan perkhidmatan pakej berkenaan.







