
KUALA LUMPUR: Semua kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Bukan Islam bagi menyelaras urusan berkaitan tanah rumah ibadat serta pentadbiran agama selain Islam, selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada kerajaan negeri.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, semua perkara melibatkan hal ehwal agama dan urusan tanah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, iaitu Senarai Negeri.
Katanya, kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam aspek pentadbiran agama, urusan tanah, hak milik, pendaftaran serta pengambilan tanah selari dengan peruntukan perlembagaan tersebut.
“Setakat ini, kesemua kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras perkara berkaitan pengurusan hal ehwal bukan Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam hantaran sama, Aaron turut memuat naik beberapa poster berkaitan penubuhan jawatankuasa khas berkenaan di setiap negeri bagi memberi penjelasan kepada orang ramai.
Semalam, ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, beliau menjelaskan sebarang perkara melibatkan penggunaan tanah dan pengurusan rumah ibadat perlu ditangani mengikut peruntukan undang-undang negeri serta melalui pendekatan rundingan dan integrasi sosial.
Beliau menegaskan kerajaan sentiasa menjamin hak kebebasan beragama, namun turut bertanggungjawab menegakkan kedaulatan undang-undang termasuk dalam aspek pengurusan tanah dan perancangan pembangunan yang berada di bawah bidang kuasa pihak berkaitan.
Katanya, meskipun isu tanah terletak di bawah kuasa kerajaan negeri, Kementerian Perpaduan Negara berperanan sebagai pemudah cara bagi memastikan isu berkaitan agama ditangani secara adil, berhemah dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara.





