
ALOR SETAR: Seorang pendakwah bebas bersama Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah di negeri ini direman semula oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki bersubahat menyeleweng dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta.
Perintah reman selama tiga hari sehingga Ahad ini dikeluarkan oleh Majistret Nur Amalina Abd. Rahman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia dalam lingkungan 30-an ditahan semula pukul 6 petang semalam di Pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani bagi membantu siasatan kes berasingan.
Katanya, sebelum ini kedua-dua suspek direman selama sehari selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Petani sebelum dibebaskan pukul 5 petang hari yang sama.
Sumber sama memaklumkan, pendakwah bebas terbabit yang juga pengarah urusan institusi berkenaan disyaki bersubahat dengan suspek wanita menyeleweng dana institusi dengan memasukkan wang tersebut ke dalam akaun peribadi.
“Selain itu, siasatan turut mendapati kedua-dua suspek meluluskan pembayaran bagi pembelian sebuah rumah bernilai kira-kira RM500,000,” katanya.
Semalam, kedua-dua individu itu direman bagi membantu siasatan selepas disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan pembayaran kira-kira RM600,000 berkaitan kutipan dana institusi tersebut tanpa persetujuan rakan kongsi lain.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, siasatan yang dijalankan SPRM Kedah bersama Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM sejak Oktober tahun lalu dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, media melaporkan SPRM Kedah menahan reman dua individu termasuk seorang pendakwah bebas kerana disyaki bersubahat menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan pembayaran kira-kira RM600,000 sebagai balasan bagi kutipan dana sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah.





