
KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad dibenarkan pulang dan bermalam di kediamannya di The Mines selepas sebulan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) susulan kecederaan patah tulang pinggul kanan.
Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff berkata, walaupun dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat, bekas Perdana Menteri itu masih perlu kembali ke IJN pada waktu siang bagi meneruskan rawatan serta pemerhatian pasukan perubatan.
Menurutnya, setakat ini pasukan perubatan IJN berpuas hati dengan perkembangan pemulihan kesihatan Dr. Mahathir, termasuk tindak balas positif terhadap rawatan dan fisioterapi yang dijalani.
“Walaupun dibenarkan bermalam di rumah, Dr. Mahathir kekal berada dalam pemantauan rapi pasukan perubatan IJN,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sufi berkata, pakar perubatan menasihatkan Dr. Mahathir tidak menerima sebarang pelawat buat masa ini kecuali ahli keluarga terdekat.
“Dr. Mahathir bersama isteri serta keluarga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mengambil berat, bertanyakan khabar serta mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau,” katanya.
Sebelum ini, Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN pada 6 Januari lalu selepas terjatuh di kediamannya dan disahkan mengalami patah tulang di bahagian pinggul kanan.
Beliau dibawa ke hospital dalam keadaan sedar sebelum menjalani pemeriksaan lanjut dan menerima rawatan susulan.




