
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan kejuaraan Piala FA 2025 dengan membenam Sabah FC 5-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini semalam.
Jonathan Silva merobek gawang penjaga gol Sabah FC, Damien Lim seawal minit ke-7 melalui tandukan cantik hasil hantaran sepakan percuma Oscar Arribas.
JDT menggandakan asakan dengan dua gol pantas dalam tempoh tiga minit selepas Rawilson Batuil tertampan hantaran Nacho Mendez ke dalam gawang sendiri pada minit ke-19.
Jairo da Silva tidak menunggu lama merobek gawang Sabah FC menerusi tandukan terbang pada minit ke-22 untuk memastikan kelebihan 3-0 kepada Harimau Selatan.
Sabah berjaya menjaringkan satu gol hasil penyudah Ajdin Mugajic pada minit ke-25 tetapi dibatalkan apabila pengadil, Mohamad Kamil Zakaria Ismail meneliti Video Bantuan Pengadil (VAR).
Pada separuh masa kedua, Miguel Cifuentes dilayangkan kad merah sekali gus menyaksikan The Rhinos beraksi dengan 10 pemain untuk baki 40 minit perlawanan.
Arribas sekali lagi menghukum Damien Lim pada minit ke-63 menjadikan kedudukan 4-0.
Juara bertahan itu melengkapkan aksi cemerlang menerusi jaringan Hidalgo pada masa kecederaan dengan keputusan 5-0 kekal hingga wisel penamat.







