KUALA LUMPUR: Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah menghadiahkan pingat emas pertama badminton Malaysia di Sukan SEA selepas menewaskan gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Meilysa Trias Puspitasari dalam perlawanan akhir di Bangkok, Thailand.
Gandingan nombor dua dunia itu mencatat kemenangan 21-16, 19-21, 21-17 dalam pertarungan selama 85 minit, sekali gus mengesahkan status mereka sebagai pilihan utama kejohanan.
Kejayaan tersebut turut menamatkan kemarau pingat emas Malaysia selama sedekad dalam acara beregu wanita Sukan SEA, kali terakhir dimenangi pada edisi 2015 di Singapura menerusi gandingan Amelia Alicia Anscelly-Song Fie Cho.
Pada set penentuan, Pearly dan Thinaah mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit meraih tujuh mata berturut-turut selepas ketinggalan 14-17 untuk memastikan kemenangan memihak kepada negara.
Walaupun baru bergandingan sejak September lalu, pasangan Indonesia itu memberi tentangan sengit dan dijangka menjadi antara pencabar utama di pentas antarabangsa pada masa hadapan.
Kemenangan ini juga menyaksikan Pearly dan Thinaah mengekalkan rekod sempurna apabila menewaskan lawan yang sama dalam keempat-empat pertemuan setakat ini.
Kejayaan merangkul emas Sukan SEA diyakini menjadi suntikan moral buat pasangan itu menjelang saingan World Tour Finals yang dijadual berlangsung di Hangzhou, China dari 17 hingga 21 Disember ini.
