KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjangkakan hasil penuh siasatan Jawatankuasa Bebas berhubung isu dokumentasi melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya diketahui dalam bulan ini.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, pihaknya masih menunggu laporan jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
“Kita masih menunggu laporan tersebut dan saya menjangkakan ia akan diterima dalam bulan ini juga.
“Daripada dapatan itu nanti, FAM akan menilai serta menentukan langkah seterusnya,” katanya selepas majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia Specialist Centre (UKMSC) dan FAM di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), di sini, hari ini.
Katanya, Jawatankuasa Bebas ditubuhkan pada Oktober lalu bagi menyiasat isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan yang dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Mohd. Yusoff menambah, FAM akan meneruskan tindakan perundangan dengan membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas semua proses di peringkat FIFA selesai.
“Urusan dengan FIFA sudah berakhir dan CAS adalah platform terakhir.
“Pasukan perundangan kami sedang melengkapkan dokumen diperlukan dan saya percaya prosedur CAS dapat dipenuhi pada 18 Disember ini.
“Apa juga keputusannya kelak adalah muktamad dan perlu dipatuhi semua pihak,” katanya.
