GERIK: Seorang lelaki Orang Asli cedera selepas ditarik seekor gajah sehingga terjatuh ke dalam gaung dalam kejadian di Jalan Kampung Pengkalan Permai, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Air Banun, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4.26 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 9.30 pagi ketika dua buah motosikal yang ditunggang dua lelaki Orang Asli bersama seorang pembonceng keluar mencari hasil hutan.
“Penunggang motosikal pertama berusia 34 tahun yang berada di hadapan ternampak seekor gajah di tepi jalan lalu memecut laju dan melepasi haiwan tersebut.
“Namun, motosikal kedua yang ditunggang lelaki berusia 30 tahun bersama rakannya sebagai pembonceng tidak sempat melepasi gajah berkenaan dan berhenti bagi menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Samad menambah, secara tiba-tiba gajah tersebut menarik penunggang motosikal kedua sehingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam gaung, manakala pemboncengnya sempat melarikan diri.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka serta sakit badan sebelum dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut, manakala penunggang motosikal pertama dan pembonceng motosikal kedua tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika melalui kawasan RPS Air Banun kerana lokasi berkenaan berisiko dengan kehadiran hidupan liar khususnya gajah yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
