
BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan mengumumkan Sistem Pengurusan Latihan (SPL) akan dimansuhkan pada tahun depan bagi mengurangkan beban guru.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, SPL antara perkara yang sering dibincangkan warga pendidik kerana dianggap mengganggu fokus mereka terhadap tugas hakiki dalam bilik darjah.
Justeru, beliau memberitahu, pemansuhan itu diharap dapat mengembalikan perhatian guru kepada murid serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) sebenar.
“Hasrat kita adalah untuk mengembalikan tugas hakiki guru kepada soal pedagogi dan memastikan reformasi dalam bilik darjah berlangsung dengan bersungguh-sungguh.
“Guru perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran dalam kelas, khususnya pelaksanaan kurikulum baharu dan pelan pembangunan pendidikan sedang dirangka,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam.
Fadhlina menambah, kementerian memberi penekanan terhadap peningkatan kualiti PdP, persediaan rapi guru bagi pelaksanaan Kurikulum 2026 serta persiapan ke arah 2027.
SPL KPM merupakan portal sehenti untuk guru dan pegawai mengurus latihan, merekod Continuing Professional Development (CPD), mendapatkan sijil digital serta mengakses platform pembelajaran seperti SiPP (Sistem Pengurusan Pembelajaran).
Portal ini dilancarkan awal 2024 bertujuan meningkatkan profesionalisme guru dan merekod mata kredit latihan, namun pemansuhan SPL dijangka mengurangkan beban pentadbiran guru dan membolehkan mereka menumpukan sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran.







