
KLANG: Seorang lelaki penangkap anjing dan seorang wanita yang dipercayai pemilik haiwan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyakiti seekor anjing pada 29 Julai lalu.
Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, dan S. Roghini Devi, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan hakim.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Shah didakwa menyebabkan kesakitan kepada seekor anjing jantan dengan menjerut leher haiwan berkenaan menggunakan tali gelung (loop) secara tidak munasabah.
Rogini pula didakwa melakukan kesalahan sama dengan menarik anjing tersebut secara tidak munasabah.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa berlaku di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang antara pukul 11 hingga 11.30 malam, 29 Julai lalu.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Beliau turut mencadangkan syarat tambahan supaya pasport diserahkan kepada mahkamah dan kedua-dua tertuduh melaporkan diri sebulan sekali di Jabatan Veterinar Selangor.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Shah memohon jaminan lebih rendah sebanyak RM3,500 dengan alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri.
“Jaminan tidak seharusnya menjadi bentuk hukuman kerana cadangan jumlah tersebut setimpal dengan hukuman di bawah seksyen pertuduhan.
“Syarat tambahan juga memberi tekanan kepada orang kena tuduh (OKT) yang masih belum didapati bersalah. Anak guam saya juga sudah 22 tahun menetap di tempat yang sama,” katanya.
Sementara itu, peguam Jeremy Vinesh Anthony yang mewakili Roghini berkata anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga selain suaminya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Dia ibu kepada empat anak dan memohon jaminan RM3,500 tanpa sebarang syarat tambahan,” katanya.
Hakim Mujib Saroji kemudian menetapkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta mengarahkan mereka melaporkan diri sebulan sekali di Jabatan Veterinar Selangor.
Mahkamah menetapkan 8 Oktober depan untuk sebutan semula kes.






