
PUTRAJAYA: Kehadiran individu di premis Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak semestinya bermaksud individu berkenaan memohon atau akan diberikan MyKad.
JPN menerusi hantaran di media sosial menjelaskan, pelbagai perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi disediakan jabatan itu, termasuk kepada bukan warganegara bergantung kepada jenis urusan yang dijalankan.
Menurutnya, terdapat urusan di JPN yang sememangnya melibatkan bukan warganegara, termasuk pendaftaran kelahiran dan perkahwinan sivil dengan pasangan bukan warganegara.
“Justeru, jangan membuat kesimpulan hanya berdasarkan kehadiran seseorang di JPN atau sekeping gambar tanpa mengetahui urusan sebenar yang sedang dijalankan,” menurut hantaran itu.
Hantaran berkenaan dimuat naik sebagai maklum balas terhadap dakwaan mengenai kehadiran individu warga asing di premis JPN yang dikaitkan dengan urusan membuat kad pengenalan.
JPN menjelaskan sijil kelahiran berwarna merah jambu adalah bukti bahawa kelahiran seseorang sudah didaftarkan di Malaysia dan bukan bukti individu berkenaan merupakan warganegara Malaysia.
Katanya, sijil berkenaan turut dikeluarkan kepada individu berstatus bukan warganegara, termasuk mereka yang tidak memenuhi syarat untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia.
“Ini kerana setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia perlu didaftarkan tanpa mengira sama ada ibu atau bapa kanak-kanak tersebut warganegara atau bukan warganegara.
“Pendaftaran ini penting bagi memastikan setiap kelahiran direkodkan secara rasmi dan tidak bermaksud kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu berkenaan,” menurut hantaran itu.





