
KUALA LUMPUR: Pemandu lori Jabatan Imigresen yang terbabit dalam kemalangan maut sehingga mengorbankan tiga beranak di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi semalam, digantung tugas sementara waktu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata tindakan itu diambil sehingga kes berkenaan selesai bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Jabatan mengambil tindakan segera dengan menggantung tugas pemandu terbabit sehingga kes berkenaan selesai.
“Kita memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam kes ini. Kita juga menjalankan siasatan dalaman dari aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.




