
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI akan mengadakan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian buat julung kali pada 9 September ini bersempena sambutan Hari Malaysia 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jualan tersebut memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
“Mengambil semangat kemerdekaan dan Hari Malaysia dan juga inisiatif yang diambil oleh TikTok Shop, saya sambut untuk meneruskan inisiatif, ikhtiar ini.
“Saya mahu selarikan ini dengan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian,” katanya ketika merasmikan Summit Malaysia 2026, di sini, hari ini.
Beliau berharap inisiatif bagi menghargai seluruh rakyat dapat dihebahkan secara meluas, sekali gus membolehkan mereka mendapatkan manfaat langsung.
Program Jualan Rahmah diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah kempen jualan barangan keperluan asas dengan diskaun 10 peratus hingga 30 peratus lebih murah.







