
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkukuh usaha menangani keganasan rumah tangga menerusi pelaksanaan Program Santun Kasih Pemandiri @Keganasan Rumah Tangga (SARI@KRT).
Program berkenaan memberi fokus kepada sokongan dan pemerkasaan individu yang pernah berdepan pengalaman keganasan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia dirangka bagi memperkukuh sokongan kepada pemandiri keganasan rumah tangga menerusi penyampaian maklumat, sokongan psikososial, akses kepada bantuan perundangan, perlindungan serta rujukan kepada perkhidmatan yang bersesuaian.
Beliau menambah, program itu turut menyediakan elemen pemerkasaan bagi membantu pemandiri meneruskan kehidupan dengan lebih yakin dan selamat.
“Keganasan rumah tangga tidak hanya terhad kepada penderaan fizikal, malah merangkumi penderaan emosi, psikologi, seksual dan kewangan, selain keganasan digital atau keganasan berasaskan gender dalam talian.
“TINGKAH laku ganas, gangguan dan eksploitasi yang dilakukan melalui media sosial juga boleh memberikan kesan yang mendalam terhadap individu yang menjadi mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran program berkenaan yang dianjurkan KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 4,014 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara sehingga Jun tahun ini, meningkat berbanding 3,768 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Nancy menjelaskan, peningkatan berkenaan menunjukkan isu keganasan rumah tangga memerlukan perhatian dan tindakan serius semua pihak, selain usaha pencegahan yang perlu diperkukuh secara berterusan.
Katanya, usaha itu termasuk meningkatkan kesedaran masyarakat, memperkukuh sistem sokongan serta memperkasakan mekanisme intervensi di peringkat komuniti supaya individu yang berdepan keganasan dapat dibantu, dilindungi dan dirujuk kepada perkhidmatan sewajarnya.
“SARI@KRT merupakan inisiatif baharu kerajaan yang memberi fokus khusus kepada pemandiri yang terlibat secara langsung dalam usaha menangani keganasan terhadap wanita dan keganasan rumah tangga.
“Pemandiri atau survivor merujuk kepada individu, komuniti atau kumpulan yang mempunyai pengalaman berdepan keganasan sebelum ini, namun berusaha bangkit, membina daya tahan dan meneruskan kehidupan secara berdikari,” ujarnya.
Beliau menambah, KPWKM kekal komited menangani isu keganasan terhadap wanita menerusi JPW dengan meneruskan advokasi serta program berbentuk pencegahan, perlindungan dan pemulihan.
Katanya, langkah tersebut bertujuan memastikan golongan sasar, khususnya wanita, tidak tercicir daripada menerima manfaat sistem sokongan yang diwujudkan kerajaan.







