
JOHOR BAHRU: Polis Johor membuka tiga kertas siasatan berhubung pemasangan bendera Johor dan Jalur Gemilang secara terbalik.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, kes itu dilaporkan di bawah pentadbiran IPD Kulai, Iskandar Puteri dan Johor Bahru Selatan.
Beliau berkata, siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut.
“Setakat ini, kita ada tiga kes. Ada tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan.
“Selain itu, lima individu turut ditahan bagi membantu siasatan dalam tiga kes berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Choon Huat turut mengingatkan semua pemilik premis atau penyelia dan individu dipertanggungjawabkan memantau dan menyelia keadaan bendera selepas dipasang.
“Sepatutnya sebagai pemilik atau orang bertanggungjawab untuk memasang bendera ini, perlu tunjuk cara pemasangan betul dan selepas pemasangan sekurang-kurangnya penyeliaan dibuat seperti ambil gambar untuk melihat sama ada betul atau tidak betul,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Indahpura, Kulai diarah tutup sementara, Isnin lalu, selepas tular insiden pemasangan bendera negeri Johor dan Jalur Gemilang dipasang terbalik sebelum seorang pengawal keselamatan premis berkenaan warga Nepal dan seorang wanita tempatan ditahan yang mana kedua-duanya kini ditahan reman empat hari sehingga Jumaat ini.
Semalam, media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad mendedahkan kes terbaru bendera Johor dan Jalur Gemilang dipasang terbalik di Kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah, Iskandar Puteri.
Premis kilang berkenaan dilaporkan sudah diarahkan tutup selepas turut dikesan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).






