
PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) direman selama tujuh hari sehingga 27 Ogos ini bagi membantu siasatan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Individu berusia 60-an itu tiba di mahkamah pada kira-kira 9.38 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga dan bergari, sebelum dibawa masuk ke mahkamah dengan diiringi pegawai SPRM.
Sebelum ini, SPRM telah menahan serta memanggil tujuh individu bagi membantu siasatan berkaitan RCI berkenaan.
Mereka terdiri daripada seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.
Laporan RCI TH yang didedahkan selepas empat tahun mengemukakan 25 syor utama bagi memperkukuh aspek ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi berkenaan.
Antara syor tersebut ialah melarang ahli politik aktif daripada menganggotai Lembaga Pengarah TH bagi mengelakkan campur tangan politik.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini turut menitahkan supaya siasatan berhubung laporan RCI TH dijalankan sehingga ke lubang cacing.





