
KUALA LUMPUR : Filem animasi Papa Zola The Movie bakal menemui penonton Korea Selatan apabila karya berkenaan ditayangkan di pawagam seluruh negara itu bermula 2 September ini.
Pengarah Media MONSTA, Faiz Zainal Aabidin berkata, pihaknya menghargai keyakinan yang diberikan rakan pengedar dan pengusaha pawagam di Korea Selatan terhadap potensi filem tersebut untuk diterima penonton tempatan.
Menurutnya, pencapaian itu amat bermakna kerana berjaya menarik keyakinan pengedar antarabangsa terhadap karya, nilai dan budaya Malaysia yang diketengahkan syarikat berkenaan.
“Bagi kami, kepercayaan ini bukan sahaja satu peluang untuk memperkenalkan animasi Malaysia tetapi juga satu pengiktirafan bahawa cerita yang kami hasilkan mempunyai daya tarikan yang boleh merentasi budaya dan sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, Papa Zola The Movie menjadi filem kedua terbitan MONSTA yang menembusi pasaran pawagam Korea Selatan selepas kejayaan BoBoiBoy The Movie pada 2016.
“Daripada ‘Papa’ kini menjadi ‘Oppa’, Papa Zola bersedia menyapa para penonton di negara itu dengan aksi, pengembaraan dan jenaka yang pastinya mencuit hati serta menghiburkan,” katanya.
Selepas Korea Selatan, Papa Zola The Movie dijadualkan meneruskan tayangan di beberapa pasaran lain termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait pada 23 September ini, sebelum mengembangkan lagi tayangan ke Australia, New Zealand dan India.







