
BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutus surat rasmi kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi memohon perhatian khusus terhadap isu pelaburan Felda di negara itu, khususnya membabitkan syarikat PT Eagle High Plantations Tbk (EHP).
Anwar berkata, langkah itu diambil susulan potensi kerugian besar bernilai RM2.5 bilion yang terpaksa ditanggung Felda akibat keputusan pengurusan terdahulu.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, pulangan yang mungkin diperoleh semula Felda dijangka hanya sekitar RM200 juta.
“Pelaburan ini (EHP) yang tersangkut di mahkamah di Indonesia. Saya telah menulis surat kepada Presiden Prabowo Subianto meminta beliau melihat juga masalah ini.
“Kalau tidak ditangani, RM2.5 bilion ini mungkin yang kita peroleh nanti RM200 juta. Ini satu contoh,” katanya ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Bersama Pengurusan Tertinggi dan Pengurus Felda di sini hari ini.
Menurut laporan sebelum ini, wang berkenaan masih belum dapat diperoleh semula oleh Felda berikutan pulangan pelaburan tersebut dicabar oleh pihak EHP di mahkamah Indonesia.
Anwar berkata, pendedahan mengenai jumlah kerugian itu dibuat bagi memastikan seluruh barisan pengurusan Felda di pelbagai peringkat memahami cabaran besar yang perlu dihadapi agensi berkenaan dalam usaha pemulihannya.
“Saya mahu pengurus tahu betapa beratnya untuk pulih. Bukan masalah pengurus Felda di Pahang atau Johor, apa kena-mengena (dengan pelaburan ini)?
“Tetapi masalah ini ditanggung oleh kita, itu masalahnya. Jadi semua harus tahu,” katanya.
Beliau berkata, soal siasatan dan penguatkuasaan mahkamah adalah perkara berasingan, namun seluruh pengurusan Felda perlu memahami masalah sebenar yang sedang dihadapi agensi berkenaan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu semua peringkat pengurusan memahami permasalahan Felda secara menyeluruh dan tidak terpengaruh dengan sebarang naratif atau propaganda yang cuba memperkecilkan isu tatakelola.
“Saya berulang kali sebut bahawa masalah ini kita tanggung. Perkara yang perlu saya tekankan ialah saya mahu pengurus Felda keseluruhannya benar-benar menghadam permasalahan.
“Bukannya bermaksud untuk kadang-kadang rasa lelah atau letih, tetapi tahu bahawa masalah ini mesti dan wajib ditangani,” katanya.
Anwar memberi jaminan kerajaan komited mempercepat pelaksanaan projek kebajikan asas untuk warga Felda, termasuk pembaikan rumah pengurus dan peneroka.
Katanya, peruntukan bagi tujuan berkenaan tidak semestinya perlu menunggu sehingga pembentangan belanjawan tahun depan.
Anwar turut menegaskan penekanan kerajaan terhadap prinsip tatakelola, integriti dan kebertanggungjawaban bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana pihak.






