
JOHOR BAHRU: Enam individu termasuk seorang wanita didakwa di dua mahkamah di sini hari ini bagi beberapa kesalahan termasuk menculik seorang lelaki warga Singapura dan menuntut wang tebusan S$20,000 (RM63,000), awal bulan ini.
Kesemua tertuduh iaitu M Balamurugam, 46; K Saravanan, 40; P Sri Devi, 41; G Puganeswaran, 38; S Gobinath, 38; dan X Adwin Nicholas, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Aziati Jaafar.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menculik Al-Shameer Abdul Nassar dengan niat mendapatkan wang tebusan S$20,000 di hadapan sebuah gereja di Jalan Orkid, Skudai, di sini, kira-kira pukul 2 petang pada 8 Ogos lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 40 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Peguam K Veeranesh yang mewakili Sri Devi memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan alasan tertuduh mempunyai enam anak berusia antara satu hingga 22 tahun serta tidak mempunyai pekerjaan.
Tertuduh lain yang tidak diwakili peguam turut memohon jaminan atas alasan mempunyai tanggungan keluarga.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, kesemua tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama melarikan seorang wanita warga Singapura dengan niat menyebabkan mangsa dikurung secara rahsia dan salah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pangsapuri di Jalan Aman, Skudai, dan beberapa lokasi sekitar bandar raya ini pukul 6.30 petang pada 11 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Balamurugam, Saravanan dan Gobinath turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan membabitkan seutas rantai leher emas dan sebuah jam tangan jenama Rolex milik mangsa yang sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah kereta di sekitar Johor Bahru Utara pukul 2 petang pada 8 Ogos lalu.
Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Zainol.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Sri Devi, Adwin Nicholas dan Puganeswaran diikat jamin RM60,000 setiap seorang, manakala Balamurugam, Saravanan dan Gobinath masing-masing RM69,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya kesemua tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sekiranya ada.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 September depan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Saravanan dan Puganeswaran masing-masing didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah mencederakan mangsa lelaki menggunakan sebilah pisau.
Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Taman Skudai Baru, Skudai, antara pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari pada 11 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.






