
SHAH ALAM: Kegiatan mencuci dan memproses pasir secara haram di kawasan seluas 0.64 hektar di Jalan Lapangan Terbang Subang Lama di sini, yang dipercayai beroperasi sejak lapan tahun lalu, terbongkar dalam serbuan semalam.
Operasi menerusi Op Gali Mega itu dijalankan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Lembaga Urus Air Selangor serta Jabatan Imigresen.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, serbuan pukul 3.30 petang itu membawa kepada penahanan 12 lelaki, termasuk tujuh warga asing.
Menurutnya, pihaknya turut merampas 1,500 tan pasir selain jentera berat serta peralatan mencuci dan memproses pasir yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM5 juta.
“Kegiatan perlombongan secara tidak sah itu disyaki telah beroperasi kira-kira lapan tahun.
“Modus operandi yang dikesan ialah membawa pasir yang tidak digunakan dari luar, termasuk dari tapak pembinaan, ke lokasi ini sebelum diproses semula bagi mendapatkan pasir halus,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi operasi di sini malam tadi.
Katanya, pasir halus berkenaan diproses menggunakan sumber air sungai berhampiran sebelum dijual semula pada harga RM600 bagi setiap lori.
“Dianggarkan antara 30 hingga 60 lori akan bergerak keluar setiap hari untuk menjual pasir yang telah diproses.
“Kesan ketara akibat aktiviti tidak sah ini ialah pencemaran sungai sehingga menyebabkan air berubah menjadi keruh,” katanya.
Hakemal berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti dalang yang mengendalikan kegiatan berkenaan, termasuk menjejaki sumber dan destinasi penjualan pasir terbabit.
Katanya, kegiatan itu dipercayai beroperasi pada waktu siang dan pihaknya akan meneliti lebih lanjut rangkaian pengedaran pasir yang dihasilkan.
“Lokasi serbuan ini adalah antara tujuh tempat yang digempur menerusi Op Gali Mega oleh Briged Tengah PGA di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
“Sejak Rabu lalu, jumlah keseluruhan sitaan dalam operasi berkenaan mencecah RM13.2 juta,” katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh operasi itu, seramai 31 individu diperiksa, manakala 15 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.
Kes disiasat mengikut Kanun Tanah Negara 1965, Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Undang-Undang Kecil 2021.






