
MARANG: Pas yang menerajui Perikatan Nasional (PN) mempunyai pelan alternatif sekiranya Barisan Nasional (BN) memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan antara PN dan BN masih berlangsung dan belum ada keputusan muktamad mengenai bentuk kerjasama bagi menghadapi PRN itu.
“Kita dimaklumkan pimpinan BN masih bercelaru dan berada dalam keadaan berbelah bagi walaupun majoriti pimpinan parti itu bersetuju kerjasama dengan PN diteruskan,” katanya selepas menyampaikan kuliah Duha di Masjid Rusila, hari ini.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika ditanya pendirian PAS dan PN jika BN memilih untuk bekerjasama dengan PH pada PRN Melaka.
Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumpamakan BN sebagai ‘anak dara cantik’ yang menjadi rebutan beberapa gabungan parti untuk bekerjasama menghadapi PRN Melaka.
Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka dilaporkan berkata, beberapa pihak dijangka tampil menyatakan hasrat untuk ‘meminang’ BN dalam tempoh terdekat bagi membolehkan gabungan itu ‘berkahwin secara sah’.
Abdul Hadi berkata, setakat ini belum ada keputusan dan perbincangan antara pimpinan PN dan BN masih berjalan.
“Kita tunggu keputusan hasil perbincangan kerjasama, tetapi Pas dan PN mempunyai beberapa strategi dan hala tuju serta alternatif bagi memperkukuh perpaduan serta kedudukan politik Melayu dan Islam serta parti bukan Islam yang tidak ekstrim.
“Pas yakin proses rundingan serta pembentukan kerjasama politik menjelang PRN Melaka adalah lebih mudah berbanding situasi dihadapi pada PRN Johor pada 11 Julai lalu,” katanya.
Katanya, keyakinan itu bersandarkan kepada maklum balas serta respons positif yang diterima di peringkat akar umbi selain mengambil kira senario politik semasa negara.







