
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul menasihatkan semua ahli Parlimen agar tidak mengabaikan kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, berikutan seorang wakil rakyat kini sedang mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau memaklumkan perkara itu sebelum bermulanya sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Johari, program saringan kesihatan untuk ahli Parlimen akan diteruskan tahun ini hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM). Program berkenaan telah dilaksanakan secara konsisten sejak 2023 dan kini memasuki tahun keempat.
Beliau berkata, aspek kesihatan perlu diberi perhatian serius memandangkan tugas sebagai wakil rakyat memerlukan tahap kecergasan fizikal dan mental yang baik.
“Yang Berhormat, sila ambil perhatian dan serius tentang ini. Semalam juga kita mempunyai seorang ahli Parlimen yang mengalami (masalah) kesihatan yang serius dan kini beliau berada di IJN.
“Pemeriksaan kesihatan ini sangat membantu dalam mengesan sebarang isu berkaitan kesihatan di peringkat awal dan seterusnya membolehkan langkah-langkah pencegahan serta proaktif melalui pengubahsuaian gaya hidup, pengambilan ubat-ubatan atau intervensi perubatan awal yang bersesuaian dengan segera,” katanya.
Johari turut menzahirkan penghargaan kepada ahli Parlimen yang memberikan kerjasama dengan menyertai program pemeriksaan kesihatan tersebut, selain menghargai peranan KKM atas komitmen dan sokongan berterusan dalam menjayakan inisiatif berkenaan.
Sementara itu, laporan media memaklumkan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, dikejarkan ke IJN selepas mengalami gangguan kesihatan ketika berada di Parlimen semalam.
Dalam kenyataan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, beliau dikatakan mengalami masalah kesihatan ketika menghadiri sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan sepatutnya mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024.







