
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia memberikan input serta bekerjasama dalam sebarang langkah memperkukuh aspek perundangan dan kaedah penguatkuasaan berkaitan aktiviti perlombongan mata wang kripto.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berkata usaha penambahbaikan itu penting bagi memastikan tindakan terhadap operasi perlombongan kripto secara haram dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, tersusun dan melibatkan kerjasama pelbagai pihak.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, pendekatan penguatkuasaan secara rentas kementerian perlu diperkasa supaya kegiatan berkenaan dapat ditangani secara menyeluruh.
Menurutnya, dari aspek penguatkuasaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan siasatan terhadap sebarang pelanggaran yang berada di bawah bidang kuasanya, termasuk kesalahan khianat serta kesalahan lain berkaitan berdasarkan undang-undang sedia ada.
“Siasatan dan tindakan membabitkan kecurian bekalan elektrik dilaksanakan agensi mempunyai bidang kuasa mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dengan kerjasama PDRM.
“Bagi syor menggubal atau memperketat perundangan berkaitan Akta 447, ia bagaimanapun di bawah bidang kuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air yang menyelia sektor tenaga,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai kesediaan kerajaan menggubal akta baharu atau meminda perundangan sedia untuk mengawal selia perlombongan mata wang kripto dengan lebih ketat.
Sementara Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang), Shamsul Anuar berkata, seramai 629 individu ditahan, manakala 75,578 mesin dirampas dalam serbuan di 3,049 lokasi di seluruh negara, antara 2022 hingga Mei lalu.
“PDRM sentiasa memperkukuh strategi penguatkuasaan dengan memberi penekanan kepada aspek pencegahan dan pengesanan awal, selain kerjasama strategik dengan pelbagai agensi.
“Kita juga akan terus meningkatkan keupayaan risikan dan teknologi, selain sentiasa mengenal pasti lokasi berisiko disyaki menjalankan aktiviti perlombongan haram mata wang kripto melalui operasi penguatkuasaan dilaksanakan.
“Kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Berhad, Suruhanjaya Tenaga, pihak berkuasa tempatan dan agensi penguat kuasa lain juga ditingkatkan, terutama bagi perkongsian maklumat, kolaborasi dan penyelarasan tindakan penguatkuasaan.
“Ini penting bagi memastikan tindakan lebih pantas dan tepat, selain menunjukkan kita memang mengambil pendekatan pencegahan sewajarnya,” katanya.





