
KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan dakwaan mengadakan rundingan pakej pembayaran semula melibatkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low), termasuk delegasi dari China.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, dakwaan yang dilaporkan Sarawak Report dan Wall Street Journal (WSJ) itu adalah tidak benar.
“Saya menafikan tuduhan terbabit,” katanya menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Chin Tong mengakui usaha mendapatkan semula baki kira-kira RM20 bilion daripada keseluruhan RM51 bilion kerugian berkaitan skandal 1MDB berdepan cabaran dan berkemungkinan sukar dipulihkan sepenuhnya.
Chin Tong berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, kerajaan setakat ini berjaya mendapatkan semula kira-kira RM31 bilion hasil usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB.
Katanya, sekiranya tiada usaha pemulihan dilakukan selepas perubahan pentadbiran pada 2018, keseluruhan jumlah berkenaan akan menjadi beban kerugian yang perlu ditanggung kerajaan.
Beliau menjawab soalan tambahan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai implikasi baki kerugian 1MDB terhadap belanjawan negara serta langkah kerajaan memastikan skandal kewangan seumpama itu tidak berulang.




