
SHAH ALAM: Suspek kes tikam membabitkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Banting dipercayai bertindak kerana menyimpan perasaan tidak puas hati terhadap beberapa individu yang didakwa pernah membulinya.
Namun, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal setakat ini belum menemukan sebarang bukti yang mengesahkan dakwaan berlakunya kejadian buli terhadap suspek.
Menurutnya, alasan yang diberikan suspek lebih menjurus kepada perasaan tidak puas hati dan dendam terhadap beberapa rakan sekolah yang didakwa membulinya.
“Hasil siasatan pada peringkat ini mendapati suspek memendam perasaan tidak puas hati terhadap beberapa individu. Namun, keterangan yang diperoleh setakat ini tidak menjurus kepada berlakunya aktiviti buli seperti yang didakwa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Shazeli berkata, polis mengambil banyak rakaman percakapan termasuk daripada 10 pelajar yang nama mereka tular dalam media sosial dan dikaitkan dengan kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan masih diteruskan dan orang ramai diminta memberi ruang kepada pegawai penyiasat bagi melengkapkan siasatan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Beliau memaklumkan mangsa kini berada dalam keadaan stabil, masih menerima rawatan dan menjalani proses pemulihan di hospital.
“Temu bual terhadap mangsa juga dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya.
Mengulas dakwaan tindakan suspek dipengaruhi kandungan media sosial berunsur jenayah, Shazeli berkata, aspek tersebut turut disiasat, namun pihaknya belum dapat mendedahkan jenis kandungan yang diteliti kerana siasatan masih berjalan.
Sebelum ini, beberapa keping surat dipercayai ditulis suspek berusia 15 tahun tular dalam media sosial. Surat berkenaan dipercayai mengandungi luahan perasaan mengenai dirinya serta beberapa individu lain.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi Isnin lalu, seorang pelajar perempuan tingkatan tiga cedera di beberapa bahagian badan selepas dipercayai ditikam suspek menggunakan sebilah pisau di kawasan sekolah.
Suspek yang tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana menjalani rawatan kesihatan dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui pintu utama sebelum kejadian berlaku.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd. Akmalrizal Radzi sebelum ini memaklumkan suspek direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.






