
SHAH ALAM: Suspek yang menikam seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Banting pada Isnin lalu memperoleh pisau yang digunakan menerusi pembelian di platform jualan dalam talian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil siasatan mendapati suspek membawa senjata berkenaan di dalam beg sebelum memasuki kawasan sekolah melalui pintu pagar yang ketika itu terbuka.
Menurutnya, suspek turut menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke sekolah pada hari kejadian.
“Siasatan mendapati suspek membeli pisau secara dalam talian dan datang ke sekolah menggunakan perkhidmatan e-hailing sebelum memasuki kawasan sekolah melalui pintu pagar yang terbuka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Mengulas dakwaan berlaku kelemahan kawalan keselamatan sekolah, Shazeli berkata, pihaknya belum boleh menyimpulkan kejadian itu berpunca daripada kecuaian pengawal keselamatan.
Katanya, kemungkinan pintu pagar dibuka ketika itu bagi membolehkan kenderaan atau individu keluar masuk, sebelum suspek mengambil kesempatan memasuki kawasan sekolah.
Beliau mengesahkan polis menerima maklumat suspek merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori autisme, namun perkara itu masih disiasat bersama pihak berkaitan.
Polis turut meneliti sama ada suspek dipengaruhi kandungan media sosial yang boleh memberi kesan terhadap pemikiran dan tingkah lakunya.
Shazeli berkata, suspek juga tidak hadir ke sekolah sejak lapan bulan lalu dan mengikuti pembelajaran di rumah berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.
Menurut beliau, remaja itu turut pernah terlibat dalam satu insiden terjatuh dari bangunan sekolah pada penghujung tahun lalu.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati suspek dipercayai mempunyai masalah tekanan emosi dan kemurungan, namun punca sebenar masih memerlukan penilaian pakar serta siasatan lanjut.






