
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menanggung keseluruhan obligasi berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM51.4 bilion, termasuk komitmen yang sudah dijelaskan serta baki yang masih perlu dilunaskan sehingga tahun 2039.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, daripada jumlah tersebut, kerajaan sudah membayar RM42.5 bilion bagi melunaskan hutang dan komitmen syarikat itu, meliputi bayaran prinsipal, faedah, kos guaman, kos operasi serta komitmen lain.
Katanya, kerajaan masih perlu menanggung Nota Jangka Sederhana Islam (Sukuk Islamic Medium Term Notes) yang dijamin kerajaan bernilai RM8.9 bilion, membabitkan bayaran prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion sehingga tempoh matang pada 2039.
“Secara keseluruhan, tanggungan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM51.4 bilion,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini ketika menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai jumlah keseluruhan hutang 1MDB yang ditanggung Kerajaan Persekutuan serta jumlah yang telah dibayar setakat ini.
Chin Tong berkata, sehingga kini kerajaan berjaya memperoleh semula dana berkaitan 1MDB berjumlah RM31.3 bilion.
Katanya, sekiranya tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan, kerajaan masih perlu menanggung baki obligasi sebanyak RM20.1 bilion daripada keseluruhan komitmen berkenaan.
Menurutnya, kerajaan akan terus meneruskan usaha mendapatkan semula aset dan dana yang mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung negara.





