PORT DICKSON: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dipercayai lemas di sebuah kolam inap desa di Batu 4, Jalan Pantai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Bahagian Kecemasan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.
Beliau menambah, mangsa terlebih dahulu menerima rawatan awal di Hospital Port Dickson sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HTJ kira-kira pukul 6 petang.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 8.40 malam.
Siasatan awal mendapati kolam inap desa berkenaan mempunyai kedalaman 1.5 meter dan panjang sembilan meter.
Polis tidak menolak kemungkinan mangsa terjatuh ke dalam kolam tanpa disedari ahli keluarga.
Setakat ini, Maslan berkata, tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau turut menasihatkan pengusaha inap desa supaya memastikan langkah keselamatan dipatuhi sepenuhnya, termasuk penyeliaan ketat di kawasan kolam bagi mengelak tragedi sama berulang.
