
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Tahunan MCA hari ini meluluskan resolusi menolak sebarang kerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dengan alasan perbezaan ideologi yang ketara antara kedua-dua parti.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, parti itu tidak akan terikat dengan mana-mana keputusan komponen Barisan Nasional (BN) sekiranya memilih bekerjasama dengan DAP.
“Jika mana-mana parti komponen BN bekerjasama dengan DAP dalam apa jua bentuk semasa pilihan raya umum akan datang, ia membuktikan semangat BN sudah mati.
“MCA mestilah bertanding dalam PRU dan PRN akan datang, serta berusaha sepenuhnya untuk mendapatkan mandat rakyat,” katanya.
Ka Siong menerusi ucapannya menyatakan MCA akan menilai semula kedudukan dalam BN sekiranya UMNO meneruskan kerjasama dengan parti luar, khususnya DAP.
Katanya, MCA tidak akan berdiam diri dan bersedia membuat keputusan yang terbaik untuk menjaga kepentingan MCA dalam landskap politik semasa.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan gabungan itu merancang meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU16 meskipun terdapat desakan BN bergerak secara solo.
Pada PRU15, kerjasama BN–PH mencetuskan pembentukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Parlimen tergantung.
Dalam pilihan raya tersebut, PH memenangi 81 kerusi Parlimen manakala BN memperoleh 30 kerusi iaitu prestasi terburuk UMNO dalam sejarah apabila hanya 25 kerusi dimenangi.
MCA pula mengekalkan dua kerusi dimilikinya sebelum ini, sekali gus mencerminkan cabaran besar yang dihadapi parti itu dalam meraih sokongan pengundi.
Antara resolusi lain yang diluluskan termasuk mengecam ekstremisme politik berasaskan kaum dan agama, menyeru ahli parti bergerak selari dengan strategi MCA Pusat, menggesa kerajaan mengurangkan perbelanjaan projek berorientasikan imej semata-mata dan mencadangkan kerajaan memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).





