
KUALA LUMPUR: Kumpulan Sri Ternak iaitu rangkaian pasar raya borong halal 24 jam bakal membuka cawangan terbaharu ST Rosyam Mart pada 17 Disember ini di Jakel Square, di sini.
Pembukaan itu menjadikan ia cawangan kesembilan dan yang kedua di ibu negara, sekali gus memperkukuh kehadirannya sebagai destinasi membeli-belah pilihan warga kota.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho Cheng Hann berkata, pembukaan tersebut selaras misi syarikat membantu rakyat menjimatkan wang dan masa melalui pengalaman pembelian mampu milik serta mudah diakses.
Beliau menambah, ruangan Malaysian Selection merupakan komitmen Sri Ternak untuk meraikan dan menyokong produk tempatan.
“Ruangan ini akan mempamerkan produk buatan tempatan termasuk makanan ringan, minuman dan cenderahati bagi memberi pengalaman beli-belah yang lebih dekat dengan identiti Malaysia.
“ST Rosyam Mart di Jakel Square direka dengan konsep moden dan kontemporari dengan keluasan melebihi 40,000 kaki persegi dilengkapi laluan luas, susunan produk teratur, kawasan borong, serta kemudahan kaunter bayar sendiri dan kaunter tunai,” katanya dalam kenyataan.
Ruang Celebrity Corner turut dipertingkatkan dengan menampilkan rangkaian produk selebriti seperti Datuk Chef Wan, Datuk Seri Aliff Syukri, Datuk Khatijah Ibrahim, Azza Elite, Betty Rahmad, Fizo Omar, Fouziah Gous, Khai Bahar dan Datuk Rosyam Nor.
Majlis perasmian cawangan terbaharu itu dijadual berlangsung pada 17 Disember ini bersama peluncuran inisiatif ‘Selamatkan Dompet Warga KL’ oleh pengarah ST Rosyam Mart, Datuk Rosyam Nor.
Rosyam berkata, tujuan utama syarikat adalah membantu penduduk bandar raya mendapatkan keperluan harian pada harga lebih berpatutan.
“ST Rosyam Mart bukan sekadar pasar raya baharu tetapi ruang komuniti yang sesuai untuk keluarga dan semua lapisan masyarakat.
“Cawangan ini menawarkan lebih 40,000 produk merangkumi sayur-sayuran segar, daging premium, makanan laut.
“Selain itu, terdapat lebih 21 perkhidmatan percuma disediakan seperti pengecas kuasa, air minuman, khidmat pemotongan daging, pinjaman payung dan bantuan bateri kereta,” katanya.
Sempena pembukaan tersebut, pelbagai promosi diadakan bermula 17 hingga 31 Disember termasuk pendaftaran ahli ST dikenakan sebanyak RM15 dengan tawaran seekor ayam pada harga RM0.88, barangan runcit serendah RM0.08 serta lebih 45 barangan borong pada harga istimewa.
Pertandingan penciptaan kandungan ‘Misi Mencari Raja Konten’ turut dianjurkan dengan menawarkan hadiah tunai sehingga RM20,000.





