
AYER KEROH: Seramai 252 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui sesi temu duga secara langsung di Karnival Kerjaya MYFutureJobs, Pusat Dagangan Dunia Melaka (MITC), di sini hari ini.
Ketua Unit Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka, Fadzli Shafiee, 36, berkata, faktor itu merupakan kelebihan karnival kerjaya yang dianjurkan PERKESO dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“MYFutureJobs mempunyai kelebihan tersendiri kerana selain drop resume, para pencari kerja ini juga akan menjalani sesi temu duga secara terus di lokasi karnival.
“Sepanjang tiga hari ini, seramai 252 pencari kerja berjaya dalam permohonan pekerjaan yang dicari menerusi kunjungan ke karnival ini,” katanya kepada Ceritera.

Beliau berkata, syarikat-syarikat yang terlibat akan membawa terus pegawai Sumber Manusia untuk menjalankan temu duga calon berpotensi mengisi kekosongan jawatan.
Mengulas lanjut, Fadzli berkata, Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Melaka berjaya mencapai sasaran apabila lebih 3,000 golongan pencari kerja memanfaatkan peluang tersebut.
“Pada mulanya, kami meletak sasaran 3,000 pengunjung sepanjang tiga hari karnival berlangsung berikutan ia jatuh pada hari bekerja.
“Bagaimanapun, sambutan amat menggalakkan apabila Karnival Kerjaya MYFutureJobs bukan sahaja dikunjungi penduduk setempat tetapi Johor, Negeri Sembilan dan Lembah Klang,” ujarnya.
Katanya, kebanyakan pengunjung mencari peluang pekerjaan lebih baik menerusi kekosongan jawatan yang dibuka di karnival.





